KATA-KATA ALUAN

بِسْـــــــــمِ اَللّهِ الرّحْمن الرّحيم

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


ASSALAMUALAIKUM W.B.T.

Al-Quran adalah merupakan mukjizat yang dikurniakan kepada Rasulullah SAW yang kekal sehingga hari kiamat. Sebagai petunjuk kepada jalan yang benar, maka adalah penting bagi setiap umat Islam mempelajari, menghayati dan mengamalkan setiap ajaran, arahan dan tegahan yang terkandung di dalamnya. Sebuah hadis Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Al-Bukhari dan At-Tirmidzi yang bermaksud:

" Sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya "

Hadis ini mengingatkan kita betapa pentingnya Al-Quran itu untuk di pelajari dan diajarkan kepada mereka yang lain. Mempelajari Al-Quran adalah meliputi bacaan yang betul, fasih dari segi makhrajnya serta mengenali hukum-hukum tajwid. Kemahiran berbahasa Arab merupakan satu kelebihan yang membolehkan seseorang itu menghayati pembacaan Al-Quran dan memahami makna-maknanya.

Atas dasar inilah, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa memberikan pendidikan Al-Quran kepada anak-anak supaya sentiasa terpelihara daripada segala gejala negatif dalam menjalani kehidupan seharian. Tanggungjawab ibu bapa di dalam menyediakan pendidikan kepada anak-anak bukan sahaja untuk kejayaan duniawi tetapi juga ukhrawi. Apa yang menjadi persoalan dalam perkara ini adalah, Adakah ibu bapa mempunyai pengetahuan yang mencukupi dan mempunyai masa yang terluang untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Senario pada hari ini memperlihatkan bahawa kebanyakan ibu bapa adalah terdiri daripada mereka yang bekerja di mana sebahagian besar masa mereka dihabiskan di tempat kerja. Malahan ada di antara mereka yang mempunyai aktiviti-aktiviti lain selepas waktu kerja.

Faktor ini, samada secara langsung atau tidak langsung, ianya telah menyumbang kepada kurangnya masa terluang kepada anak-anak dari aspek-aspek tertentu seperti pendidikan dan pengajian Al-Quran, moral, psikologi dan sebagainya. Justeru itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mencari alternatif lain dalam melaksanakan tanggungjawab serta amanah Allah kepada mereka.

Hakikat ini telah mendorong saya untuk membuka sebuah pusat pendidikan tahfiz untuk kanak-kanak dan remaja bagi membantu meringankan beban dan tanggungjawab ibu bapa dalam menyediakan pendidikan kepada anak-anak mereka terutama di dalam bidang pengajian Al-Quran. Selain itu, usaha ini merupakan satu tanggungjawab saya sebagai seorang islam terhadap orang islam yang lain melalui penyebaran ilmu pengetahuan yang telah dikurniakan Allah kepada saya.

USTAZ ASRI BIN RAMLI
Mudir
MADRASAH BUSTANUL ULUM ABU BAKAR

No comments:

Post a Comment